Tuesday, November 2, 2010

pembina


Oleh: Wardah Puteh

Potret Hidup Insan Beriman, karya Dr A'idh Al-Qarni (penulis La Tahzan).

Orang beriman itu menakjubkan. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur. Jika mendapat musibah, ia bersabar. Hidup baginya adalah ujian. Senang atau susah bukan masalah. Kaya atau miskin tak jadi soal. Kerana pada kedua kutub itu terhampar kesempatan untuk berburu ridha Allah. Dan bagi orang beriman, tak ada yang penting selain ridha Allah. Kerananya, orang paling bahagia adala orang beriman. Dia bisa survive dalam segala kondisi.

O Buku yang penuh dengan kata-kata hikmah dan falsafah.

Rintih tangis orang yang bertaubat lebih dicintai Allah daripada gemuruh ujub suara orang yang beribadah. Penyesalan, kesedihan, dan rasa remuk-rendam hati orang yang berbuat dosa, lebih baik daripada kesombongan seorang ahli ibadah terhadap amalan-amalannya.

Saya lebih tertarik pada salah satu tajuk dalam buku ini berbanding yang lain. Bukan bermaksud yang lain tidak mengesankan, cuma ini seakan kena pada batang hidung sendiri.

Tahan Amarah. Jadilah pemaaf. Lakukan kebajikan.

3 in 1.
Dalam satu bab. Memetik kata-kata penulis;

"Ini adalah 3 terminal yang harus disinggahi manusia yang ingin merengkuh kehidupan yang baik, dalam interaksinya dengan manusia. Khususnya terhadap
orang yang berbuat jahat dan menyakiti dirinya. Dengan sikap lapang dada, pemaaf dan kesabaran, dia akan selamat dari api dendam, bara kesumat, dan penuntutan balas."

Selalu kita dengar, memafkan lebih baik. Tapi, praktik itu bukan sesenang teori. Sebab ia melibatkan hati. Hati, pastinya sukar dikawal. Tetapi, kerana hati seorang muslim itu seperti air yang jernih, lembut dan segar. Tak berwarna, tak berasa dan berbau. Seperti kertas. Dan di atas kertas itu tertulis;

laillaha illallah, Muhammadur rasulullah

Kerana itulah memungkin segala teori dapat dilaksanakan.
Saya selalu sahaja ditegur sahabat;
"Lapangkan dada."

Lapangkan dada. Mungkin kerana hati saya sudah tidak sejernih air yang mengalir, keras dan busuk. Hitam, kasar dan hanyir. Jadi ini susah bagi saya. Lapangkan dada. Dan mungkin, pengucapan ikrar itu tidak betul-betul dirasakan dalam hati ini, kerana itu keikhlasan mencari redha Illahi tidak tetap. Tidak teguh di hati. Astghfirullah...

Rasulullah pernah berpesan kepada seorang lelaki:
"Jangan marah, jangan marah, jangan marah."

Kerana kemarahan bakal membakar pemiliknya dahulu sebelum orang lain. Kemarahan yang berapi itu bakal menimbulkan dosa yang lain; mengumpat, berdendam, memfitnah dan melaknat.

Diumpat

Selama hidup di dunia ini, hidup dengan umpatan sudah sebati dalam dunia.Tetapi, malangnya kita masih tidak dapat "menyesuaikan" diri. Menyesuaikan diri bagaimana? Menahan hati dari amarah tentunya. Dan memberi kemaafan.

"Saat anda mendengar satu ucapan yang tidak sedap, saat itu pula anda memperoleh eloknya kemuliaan, ketinggian, dan kehidupan yang baik. Kerana ucapan yang jelek tidak membahayakan orang yang dikenai ucapan tadi. Tetapi membahayakan pengucapnya."

Para ahli salaf dahulu, begitu gembira kalau diumpat. Bagi mereka, kalau diumpat oleh orang lain, maka kebaikan yang besar akan diterima. Seolahnya gembira apabila mendapat hadiah. Malahan, mereka akan membalas kembali umpatan dengan hadiah yang baik-baik. Besar sungguh hati mereka. Lapang sungguh!

"Saat seseorang mengumpat anda, itu adalah tanda bahawa anda punya kedudukan, dan bahawa anda adalah sesuatu yang pantas untuk dibicarakan. Sebaliknya, jika mereka mengabaikan anda, maka itulah tanda bahawa mereka memandang anda sebagai sesuatu yang tak bererti lagi dilupakan."

Apabila Allah hendak menyebar keutamaan
Dia sediakan padanya lidah orang yang dengki
Kalaulah tidak kerana nyala api disekitarnya
nescaya bau harum kayu gahara tak dapat diketahui
Perkataan jelek tidak akan memberi mudharat kepadamu kecuali
jika engkau terpengaruh dengannya, menaggapinya, dan marah keranya.
Sesungguhnya yang membuatmu sakit adalah kerana mendengarnya.

Memaafkan
Allah berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 34-35;

"Tolaklah(kejahatan itu) dengan cara lebih baik, maka tiba-tiba orang ada permusuhan antaramu dan antara dia seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar."

Rasul juga bersabda;
"Orang mukmin yang bergaul dengan orang dan bersabar terhadap gangguan mereka adalah lebih baik dariada orang yang tidak bergaul dengan mereka dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka." [HR Ibnu Majah dan Ahmad]

Alangkah murninya hati Rasulullah. Kosong daripada dendam, iri hati atau dengki. Penuh dengan kecintaan, kasih sayang dan iman.

"Wahai muslim yang takut kepada kebesaran Allah dan tamak harap kepada rahmatNya, bersihkanlah hatimu dengan air maaf tujuh kali, dan kedelapan kalinya bersihkanlah ia dengan debu kecintaan kepada setiap orang muslim; agar engkau hidup senang dan damai hati."

Bagaimana?
Kalau dalam situasi begini;
Seorang gadis yang memakai pakaian sendat lalu berhampiran anda. Apa yang mula-mula terlintas di fikiran?
Meluat?
Benci?
atau simpati?

Kalau dalam situasi begini pula;
Seorang kawan yang pernah anda bantu, tiba-tiba menjauhkan diri dari anda. Apabila berselisih, dia hanya menjeling sinis. Apa yang terbayang di fikiran?
Geram?
Sakit hati?
Atau ingin memohon kemaafan darinya?


Hati. Hati kita agaknya sudah lama tak diuji. Sampai kita lupa hakikat hidup ini.

Siapalah kita kalau hendak dibandingkan dengan Rasulullah, yang masih menyayangi umatnya walaupun dirinya dicaci Siapalah kita kalau hendak dibandingkan dengan nabi Musa sehingga Rasulullah pernah bersabda ketika baginda disakiti;

"Semoga Allah merahmati Musa , yang disakiti lebih daripada ini namun dia tetap bersabar."

Atau seperti nabi Nuh, nabi Ayyub dan nabi Shaleh.

Kata hati

ingin berjuang di jalan Allah

Tapi hati tetap angkuh dan sombong.

Mata hati memandang saudara

dengan benci berapi

kerana menyangka

diri lebih baik daripada semua.


Begitulah. Kita sering terlupa keinginan untuk menjadi "pejuang" tidak menyediakan jalan yang mudah. Tetapi berliku dan berduri. Hingga hati terasa sempit dan sesak dengan ragam manusia.

+Jika kita ada ilmu, kita memandang sinis saudara yang bertanya soalan remeh. Rasa berat untuk menjawab.

+Jika saudara kita yang "hu-ha" datang kepada kelompok-kelompok kita yang "baik", dan bergurau dengan lawak bodohnya, kita akan saling memandang sahabat kita yang lain dengan wajah yang sengaja dicemik benci.

+Kalau kita sedang bercakap-cakap mengenai "perjuangan" dan melintas saudara kita yang kurang bertuah itu, kita hentikan bicara kita.

Pernahkah terfikir, saudara kita akan terasa? Atau memang sengaja ingin menunjuk kononnya kita ini hebat dan tak layak untuk bersahabat dengannya?

Bagaimana pula kalau dikritik? Adakah selalu berlapang dada atau berbakul-bakul kutukan yang akan dihadiahkan kembali?

"Jangan anggap semua kritik yang diarahkan kepadamu sebagai satu bentuk permusuhan! Ambillah manfaat yang ada di dalamnya, tanpa harus melihat maksud sari si pengkritik. Sebab, sebenarnya anda memang memerlukan kritikan daripada pujian."

Ya, kita sebenarnya perlu dikritik. Sebab kritik akan jadikan kita lebih kritis dan kreatif!
Apabila hati disakiti, bersabarlah. Kerana kata seorang Salaf;

"Orang mukmin itu tidak menuntut, tidak mencela, dan tidak menabur benih perselisihan. Dia tidak menuntut kedudukannya di hadapan manusia, agar mereka memujinya dan menyanjunginya. Tidak pula mencela orang yang menjauhi dan mengabaikan haknya, dan tidak menabur benih perselisihan dengan orang yang memusuhinya dan menyakitinya."

Dalam hadits disebutkan;
" Seorang mukmin itu laksana seekor lebah. Dia hanya memakan yang baik-baik saja dan mengeluarkan yang baik-baik sahaja, apabila hinggap di atas kayu, tidak membuatnya patah."


"Orang muslim itu adalah orang yang orang-orang muslim lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya. Orang mukmin itu adalah orang yang manusia merasa aman darinya dalam urusan darah dan harta benda mereka." [HR Tarmizi dan Nasai']


Sepatutnya kita menjadi seperti LEBAH. Yang sentiasa menyenangkan orang lain. Kita ada madu untuk menyembuhkan luka. Madu kita manis dan disukai. Begitulah. Bicara kita harus manis, seperti madu. Dan sedap lagi menyembuhkan hati mad'u.


Bagaimana mahu berdepan dengan mad'u, jika hanya menyangka mad'u akan menerima bulat-bulat apa yang ditutur. Atau terus mengikut telunjuk?


Manusia yang memberi hidayah atau Allah?


Ketika seorang Arab Badwi menarik kain baginda dengan keras dan berkata, "Hei Muhammad, perintahkan mereka untuk memberiku dari sebahagian harta Allah yang ada padamu." Rasulullah menoleh kepadanya, lalu tertawa, dan memerintahkan para sahabat untuk memberinya sedekah.


Kalau terkena pada diri sendiri? Kalau saya?
Saya mungkin akan menampar mukanya kembali!


" Dan hamba-hamba Rabb Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik." [Al-Furqan: 63]


Apabila bergaul dengan manusia, tidak dapat tidak kita akan terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam dan sikap. Yang menyenangkan atau menyusahkan. Yang baik dan buruk. Jika kita mencela, menuntut balas atas tindakan buruk mereka, dengki dan menuntut hak atas mereka, umur kita akan jadi sia-sia. Hati akan dipenuhi kerisauan, iman melemah sehingga ia menyibukkan kita dan melalaikan terhadap akhirat.


Sebab itu Rasullullah menyarankan kita bermuhasabah setiap hari. Muhasabah diri dan memaafkan orang lain sebelum tidur. Mendoakan mereka dan momohon ampun buat mereka.


Bermusuhan dengan orang merupakan siksaan yang menyakitkan, merosak agama, membakar harga diri dan mengoyak tabir adab. Tak pernah kulihat dalam hidup, ketakutan yang lebih mencengkam dan lebih berbahaya daripada bermusuhan dengan orang.


Kerana senyuman adalah sihir yang terhebat, SENYUMLAH!

No comments: