Thursday, October 21, 2010

Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran

MENGAWALI ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143, berbunyi:

“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”.

Dalam surah Ali Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu”.

Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.

Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.

Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang kepada cita rasa dan nurani orang-orang Melayu.

Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanah air.

TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA

Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.

Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.

Namun, rancangan Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.

Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:

Hidup sebumbung, di bawah teratak,

Berlain bantal, satu hati,

Bercerai kasih, bertalak tidak,

Ibarat rambut, bersimpul mati.

Di sudut lain, sekalipun idea Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.

Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaik pulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Tunku Abdul Rahman sebelum itu.

Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dan pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya adalah untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.

Sejurus apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk Malaysia; Melangkah ke Hadapan yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan perkapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh 30 tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.

Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosiopolitik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisme politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.

Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.

Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Enam NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisme pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.

Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapa pun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat seperti mana tercermin dalam ungkapan “adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosak binasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan”.

Makanya, di saat ini, biar apa sekali pun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja di rantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.

Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.

Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.

Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNOlah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.

Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.

Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya

Melayu itu, orang yang bijaksana

Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah muallaf bertakrif Melayu

Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,

Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,

Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung

Syarak dipakai adat dijunjung

Hidupnya mengabdi kepada rakyat

Taat setia membela umat

Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri

Umat sentosa bertuahlah negeri.

Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.

Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.

Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah.

Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan.

Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

KEPIMPINAN UMNO - SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.

Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Sementelah itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ia telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.

Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar eksklusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila sejarah dienteng atau dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.

Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.

Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosio-politik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, seperti mana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapa pun, apabila memungkiri janji.

Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.

Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.

Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti mana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekali gus terpateri kemas.

Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.

Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocoust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.

Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum.

Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

Laksamana Hang Tuah menyebut, ‘Takkan Melayu hilang di dunia.” Begitulah, bangsa Melayu terutamanya di rantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.

Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.

Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

Justeru, saya sebagai Presiden UMNO... tidak mahu... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pangkalan tentera asing di bumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.

Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

PENUTUP

UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekali gus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

Selanjutnya, di akhir tahun 90-an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.

Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang- orang Melayu.

Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?

Sesungguhnya, kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

Ayuh...

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..

Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..

Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..

Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..

Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.

Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.

Tuesday, October 19, 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu

ingguan Malaysia 17 Oktober 2010

Saya amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sejak dahulu lagi isu ini telah dibangkitkan oleh pejuang-pejuang bahasa, tetapi ia tidak diendahkan, baharu sekarang kita mahu mengambil berat. Apakah sudah terlambat? Yang selalu kedengaran adalah kelantangan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong dalam mempertahankan bermatian-matian akan bahasa ibunda mereka. Kita baru mula insaf setelah nasi menjadi bubur. Orang lain bukan sahaja sudah insaf lama, tetapi mereka langsung tidak pernah mengenal erti putus asa. Namun, saya tetap bersangka baik, daripada tiada langsung, lebih baik ada.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Saya tidak pasti sejauhmanakah kita mengimplementasikan syarat wajib lulus dalam bahasa Melayu mendapatkan kerja di sektor swasta? Apa yang saya tahu, langsung tidak ada pengawalan. Sama ada mereka lulus atau gagal bahasa Melayu, atau mungkin langsung tidak tahu berbahasa Melayu, sudah tidak menjadi ukuran. Yang penting adalah Malaysia boleh! Kenapakah kepentingan masa depan ini tidak dilihat secara serius?

Sebelum inipun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membangkitkan dan membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. Baginda menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu akibat berpecah-belah di negara ini pernah diutarakan oleh raja-raja Melayu yang lain seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dalam ucapan-ucapan baginda.

Sehingga ke hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh ‘terlepas’ ataupun sudahpun ‘terlepas’. Sepanjang pengamatan saya, negara-negara lain di dunia ini, tidak ada masalah langsung untuk memperkasakan perkara-perkara asas berkaitan dengan pembinaan masa depan dalam sebuah negara bangsa, kerana mereka tahu perlembagaan asas kepada hidup mati sesebuah negara? Rosak perlembagaan, rosaklah negara dan rakyatnya.

Perlu diingat, jika kitab suci itu adalah pegangan hidup beragama, maka perlembagaan adalah asas pegangan hidup bernegara. Dalam konteks yang lebih kecil, perlembagaan adalah asas kepada penubuhan sesebuah persatuan atau organisasi. Tanpa perlembagaan, persatuan atau organisasi tidak boleh ditubuh secara sah. Jika kita tidak setuju dengan perlembagaan tersebut, kita mesti kita mengambil jalan untuk keluar daripada pertubuhan tersebut. Begitulah dalam konteks bernegara, jika perlembagaan tidak dipatuhi, kita mesti mengambil jalan untuk keluar. Carilah tempat-tempat yang mana perlembagaannya dapat memenuhi selera dan nafsu kita.

Ini asas-asas bernegara dan berpersatuan yang mesti difahami. Saya berasa amat pelik kenapa ada segelintir daripada kita tidak langsung mengendahkan arahan kerajaan supaya kurikulum sekolah jenis kebangsaan dan sijil sekolah jenis persendirian dirombak mengikut kurikulum atau silibus kenegaraan, agar penguasaan bahasa Melayu menjadi lebih mantap. Namun, sudahlah arahan tersebut tidak diikuti, mereka lebih sibuk dan takut jika kurikulum dan silibus tersebut tidak diikhtraf oleh negara lain yang menjadi kiblat mereka selama ini?

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Kebiasaannya, kempen bulan bahasa tidak dilakukan ke atas bahasa kebangsaan kerana rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa ini sama ada suka atau tidak. Kempen bahasa kebangsaan sepatutnya giat dijalankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil atau di tempat-tempat bahasa Melayu tidak didaulatkan. Begitu juga dengan kempen ke atas bahasa-bahasa sampingan yang lain bagi menyemarakkan penguasaan bahasa-bahasa sampingan tersebut, seperti bahasa Inggeris.

Lihat sahaja negeri China, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak bersifat sedemikian? Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang guru senior India yang mengajar bahasa Inggeris, di Kuala Lumpur, menggelarkan dirinya cikgu Siva Malaysia. Beliau amat terkenal di sekolahnya disebabkan cara hidup beliau yang amat berjiwa Malaysia berakarkan semangat kebangsaan kenegaraan yang begitu kuat. Bahasa Melayunya amat fasih mengalah orang Melayu sendiri. Saya fikir cara dan akhlak beliau seperti orang Islam, walaupun hakikatnya beliau masih belum Islam.

Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai politik Malaysia yang amat bersifat perkauman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak didaulatkan, apatah lagi dikuasai. Selaku seorang Kristian yang selalu ke gereja, katanya, sesetengah gereja turut bersifat perkauman. Menyindir dan mengutuk bangsa dan agama lain adalah perkara biasa.

Isu video klip mengenai ceramah seorang Cina Muslim, mengenai agama Buddha dengan ‘King Kong’, sengaja diperbesar-besarkan oleh laman web Malaysian Insider, begitu jelas berniat hajat. Memang tidak nafikan pandangan tersebut tidak wajar. Apa kata kita jika orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Namun, laman web tersebut sengaja menjadi isu ini, untuk membalas dendam atas tindakan memperbesar-besarkan isu paderi Kristian menghina Islam di dalam gereja. Isu paderi gereja menghina Islam, bukan isu baru. Saya minta kita biasakan pergi sama buat siasatan di tempat-tempat lain seperti gereja, apakah mereka tidak mengutuk agama dan bangsa lain?

Apapun, Cikgu Siva amat bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dapat menjaga negeri bertuah ini dengan aman damai. Dengan adanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, orang bukan Islam berasa aman untuk menunaikan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Beliau turut memuji ceramah-ceramah oleh para agamawan Islam yang memberi ceramah dan kuliah-kuliah, yang mana mereka jarang mengutuk atau menghentam orang bukan Islam. Yang selalu diajar adalah untuk bagaimana caranya untuk menyeru bukan Islam supaya kembali memeluk Islam. Pendekatan yang kasar sedemikian, amat jarang sekali diajar di rumah Allah itu, kecuali beberapa kes terpencil.

Beliau amat menghargai toleransi umat Islam. Katanya lagi, kes pembunuhan Datuk Sosilawati adalah satu contoh jelas toleransi tersebut. Umat Islam dapat menerimanya secara terbuka tanpa menyalahkan mana-mana kaum. Pihak keselamatan pula, awal-awal telah membuat kenyataan bahawa ia tidak ada kaitan dengan isu perkauman. Begitulah seterusnya dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan supaya kita bertenang dan bertenang. Umat Islam menerima ketentuan takdir ini, tanpa rasa permusuhan dan benci terhadap orang India.

Bayangkan, andai kata peristiwa ini berlaku sebaliknya, menimpa orang bukan Melayu, yang melakukannya adalah orang Melayu. Apakah bukan Melayu akan menerimanya sebagaimana penerimaan orang Melayu? Apakah berita seperti ini tidak akan disensasikan dalam akhbar-akhbar mereka atau internet? Begitulah toleransi yang amat saya puji, bila kena pada orang Melayu (Islam), atas dasar toleransi, orang Melayu tidak banyak bicara. Namun, bila kena pada orang lain, bagaimana kesudahannya? Selama kes ini disiasat pun, ada suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan dan pihak polis. Persoalannya, kenapa kita tidak menghormati toleransi seperti ini? Apakah lagi jenis toleransi yang kita harapkan lagi?

Apakah tidak ada langsung kredit patut diberikan kepada kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu? Hari ini, tidak ada cara berlembut lagi untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melainkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Teringat saya cerita rakan-rakan yang tinggal di Selatan Thailand suatu ketika dahulu. Mereka akan didenda jika bercakap selain daripada bahasa Siam, bergantung kepada berapa patah perkataan asing digunakan. Satu patah asing digunakan akan didenda 20 sen. Begitu kuatnya orang Siam untuk mengSiamkan rakyatnya. Keadaan kita amat berlainan sama sekali. Sudahlah bahasa kebangsaan langsung tidak digunakan, mereka yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu boleh hidup senang lenang tanpa gangguan dan tindakan. Saya fikir, sudah sampai masa kita melakukan ke tahap sebagaimana negara-negara lain yang begitu bertegas dalam soal memperkasakan bahasa dan negara.

Sudah sampai masanya juga, kuasa penuh diberikan kepada badan-badan bahasa dan Majlis Perbandaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang merendah-rendah bahasa kebangsaan tanpa ada campurtangan politik. Majlis rasmi, tidak kira pertubuhan Melayu atau bukan, mesti menggunakan bahasa Melayu. Paling kurangpun jika dwi bahasa digunakan, bahasa Melayu mesti didahulukan, kemudian diikuti dengan terjemahannya dalam bahasa ibunda. Penggunaan seratus peratus menggunakan bahasa ibunda dalam upacara rasmi hendaklah dipantau.

Media cetak dan elektronik yang bersifat perkauman mesti menterjemahkan bahasa ibunda mereka ke dalam bahasa kebangsaan. Saya teramat sedih membaca sebuah artikel akhbar perkauman baru-baru ini, yang mengatakan bahawa perpaduan bukan matlamat, tetapi hanyalah alat. Ternyata orang seperti ini tidak tahu sejarah negara, perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Mereka tidak mementing agenda nasional, kerana mereka lebih mementingkan bangsa. Dalam gagasan 1Malaysia disebut dengan jelas, bahawa matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan. Kerana hanya dengan adanya perpaduan, negara akan aman, stabil dan mendapat kepercayaan pelabur-pelabur.

Semuanya kena bermula dengan bahasa kebangsaan kerana bahasalah yang akan menyatukan kita semua, kerana kita semua berlainan agama. Jika tidak, bagaimanakah interaksi dan komunikasi akan berlaku. Janganlah kita terlalu berpolitik dan menjaga kuasa kerana ia tidak kekal lama. Apakah identiti dan jati diri yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu cicit kita nanti?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

http://ridhuantee.blogspot.com/2010/10/nasib-bahasa-melayu-di-bumi-melayu.html

Sunday, October 17, 2010

YDQ



tulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Dr Yusof Qaradhawi kepada pimpinan PAS sewaktu Tokoh Maal Hijrah 1431H itu mengunjungi pejabat PAS Pusat untuk pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS Pusat.

Banyak lagi pandangan beliau tentang perjuangan Islam di Malaysia, ikuti tulisan sahabat saya Exco Pemuda PAS Pusat, Sdra Abdullah Hj Karim yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Assalamualaikum,Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir dlm pertemuan tertutup pimpinan PAS dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi (DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan :

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Gambar pertemuan itu juga saya lampirkan di sini - Abdullah Karim

Sumber, Mohamad Taufek

Artikel berkaiatan:
- Parti Islam Se-Malaysia (PAS) diiktiraf media Arab: Presiden Iran bangkit soalan berkaitan 9/11

Sunday, October 3, 2010

Kejayaan Azhari

alam. Pasal konvo tu teh dah beritahu kat mak. Mak nangis rasa hiba gembira & kami sm��a bgenang air mata gembira atas kejayaan adik lan menamat tempoh pgajian di sana. ALHAMDULILLAH WALLAHU AKBAR. Wailall��qa Amin

kejayaan ibu

semangat

semangat